Jumaat, 15 Mac 2013

Wahai anakku

Wahai anakku
Janganlah engkau rasa selesa bila melakukan maksiat, kerana ia mengikis imanmu sedikit demi sedikit sehingga kamu tidak lagi rasa bersalah dan berdosa.

Wahai anakku
Terkadang Allah menyembunyikan maksiatmu dari pengetahuan manusia,agar kamu kembali dan bertaubat kepada Tuhanmu. Janganlah kamu merasa aman bila manusia tidak mengetahuinya lalu kamu berterusan mendurhakai Tuhanmu. 


Wahai anakku.
Rasailah kasih sayang Tuhanmu itu dengan sentiasa membersih dirimu dan mendekatinya. Aku bimbang jauhnya kamu dari perhatian Tuhanmu membawa kemurkaanNya terhadapmu.

Ya Allah. Ampunilah dosa-dosa kami. Himpunkanlah kami dalam keredhaanMu.


-Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man

Rabu, 13 Mac 2013

Mother's Love ♥



Indahnya seorang wanita..Thought this was lovely :)

-----------

Seorang ibu membawa bayi di dalam rahimnya selama sembilan (9) bulan. Si ibu berasa sakit dan loya untuk beberapa bulan. Kemudian dia melihat kakinya membengkak dan mengalami regangan kulit.

Si Ibu berjuang untuk mendaki tangga, dia tercungap-cungap dengan cepat walaupun satu tugas yang mudah seperti meletakkan kasut di rak.

Beliau mengalami gangguan semasa tidur ketika bayi menendang dan bergerak di dalam rahimnya seawal jam 3 pagi, kemudian menghadapi saat jerih menahan kesakitan ketika dia ingin membawa anaknya ke dunia ini.

IBU..Dia menjadi jururawat, tukang masak, pembantu rumah, pemandu , guru, dan rakan yang terbaik. Beliau yang berjuang untuk anaknya, menangis demi anaknya, meletakkan dirinya untuk anak, berharap yang terbaik untuk anak dan kadangkala menjadi tidak tentu arah apabila kerisauan terhadap si anak. Tetapi, dia tidak pernah meminta sebarang balasan dari si anak kerana si ibu terlalu sayangkan si anak.

Jika anda adalah seorang ibu atau mempunyai Ibu penyayang yang melakukan semua ini untuk anda, anda sangat bertuah, tidak pernah susut sebuah nilai kasih sayang yang sangat bernilai!

Mother's Love ♥

Selasa, 12 Mac 2013

Untuk Mummies yang sedang berpantang dan yg akan berpantang


Ada beberapa pantang larang semasa seorang ibu itu berada dalam pantang selepas bersalin:

Dilarang Tidur Tidak Berbantal
Tidur tidak berbantal akan mengakibatkan seorang yang berada dalam pantang akan mengalami sakit kepala, ini juga berkemungkinan darah kotor sukar untuk keluar dan angin naik ke kepala menyebabkan sakit meroyan kepada ibu yang masih lemah.

Memakai Sarung Kaki (Stokin)
Cara ini untuk menjaga agar kaki tidak sejuk dan dimasukki angin, jika angin menguasai badan, kesihatan ibu-ibu akan terganggu dan menjadi lemah. Memakai sarung kaki selama dalam pantang akan menjaga kesihatan ibu.

Jangan Duduk Mencangkung
Jika seorang ibu yang baru melahirkan duduk mencangkung akan menyebabkan rahim yang masih lemah itu terkeluar dan ini boleh mengakibatkan ibu-ibu tumpah darah.

Mandi Duduk Di Bangku
Ketika mandi hendaklah duduk di bangku, ini caranya untuk menjaga kesihatan peranakan. Dengan duduk di bangku, ibu-ibu tidak banyak mengeluarkan tenaga kerana ibu-ibu yang baru melahirkan masih dalam keadaan lemah.

Rapatkan Kaki Bila Tidur
Jika tidur hendaklahh merapatkan kaki. Cara ini untuk mempercepatkan peranakan sembuh semula.

Jangan Terlalu Aktif
Ibu yang baru melahirkan hendaklah duduk diam di atas tempat tidur selama seminggu. Ada baiknya jika ada pembantu yang boleh menguruskan bayi dan rumahtangga. Duduk diam ini untuk memulihkan tenaga yang telah hilang dan supaya badan benar-benar dapat berehat.

Jangan Makan Ubi-Ubian
Ibu-ibu dalam pantang tidak dibenarkan makan makanan dari jenis ubi-ubian seperti keladi, keledek dan ubi kayu kerana makanan ini boleh mengganggu pencernaan dan ibu-ibu mungkin terasa kembung dan sakit perut. Terutama ibu-ibu yang menyusukan anak kerana penyakit ibu boleh berjangkit kepada anak.

Jangan Tidur Di Waktu Matahari Naik
Ibu-ibu dalam pantang tidak dibenarkan tidur diwaktu matahari naik, ini boleh menyebabkan badan ibu bertambah lesu dan sakit-sakit, lebih baik ibu-ibu berjalan di tepi tingkap untuk mendapatkan cahaya matahari.

Jangan Tidur Waktu Senja
Ibu-ibu yang baru melahirkan dilarang tidur di waktu senja, kerana di waktu senja adalah masa syaitan berkeliaran, jika diamalkan mungkin fikiran ibu-ibu yang dalam pantang akan terganggu dan boleh menyebabkan penyakit gila.

Jangan Menjahit Pakaian Dan Membaca
Ibu-ibu yang dalam pantang dilarang menjahit dan membaca, ini disebabkan keadaan fizikal yang lemah boleh menyebabkan ibu-ibu akan cepat mengalami rabun sebelum tua.

Tidak Boleh Keluar Rumah Waktu Senja
Ibu-ibu yang dalam pantang dilarang keluar rumah waktu senja, waktu ini syaitan berkeliaran yang mungkin boleh mengganggu ibu-ibu yang lemah fizikal dan mentalnya.

Ibu Jari Tidak Boleh Terantuk
Ibu-ibu yang pantang hendaklah menjaga ibu jarinya supaya tidak terantuk. Pada satu-satu tempat, jika terantuk boleh menyebabkan ibu pitam atau bentan jika ibu itu seorang yang lemah.

=======================================

Lain-Lain Amalan Semasa Berpantang:

Memakai baju tebal dan berstokin serta tidur dengan udara yang cukup nyaman selama 6 atau 7 tujuh adalah digalakkan untuk menjaga kesihatann ibu-ibu semasa dalam pantang. Duduk bersimpuh dan merapatkan kedua lutut adalah baik bagi ibu-ibu di dalam pantang. Cara ini untuk mempercepatkan sembuhnya luka-luka selepas melahirkan dan menjaga peranakan biar tetap baik.

Berbedak juga dapat menjaga kesihatan ibu0ibu selama dalam pantang supaya badan sentiasa panas dan tidak dimasukki angin. Lakukan cara ini pagi dan petang selama sebulan.

Jika cuaca sejuk hendaklah memakai selimut tebal agar ibu-ibu yang dalam pantang tidak masuk angin badannya, bila bangun pagi badannya terasa sihat dan segar.

Bertungku adalah amalan yang baik bagi ibu-ibu semasa dalam pantang, bertungku boleh mengecutkan batu meroyan dan mencairkan darah beku dalam perut. Bertungku hendaklha dilakukan setiap hari pagi dan petang selama sebulan.

Minum air pati kunyit selama 3 hari semasa dalam pantang adalah baik untuk mengecutkan peranakan dan mengeluarkan darah kotor dalam perut.

Duduk mencangkung semasa dalam pantang adalah dilarang, kerana cara ini boleh membuatkan peranakan turun dan melemahkan otot-otot perut.

Ikan keli adalah ikan yang mengandungi bisa. Ibu-Ibu dalam pantang dilarang memakannya. Ikan berbisa jika dimakan oleh ibu-ibu dalam pantang boleh menyebabkan turun darah dan bentan.

Lobak merah baik untuk dijadikan sayur ibu-ibu dalam pantang, kerana ia mengandungi banyak vitamin. Pucuk pegaga baik direbus dan dimakan bersama nasi bagi ibu-ibu dalam pantang, sayur ini berkhasiat untuk merawat vagina dan penyakit di bahagian vagina. Makanlah 2 kali sehari.

Buah anggur, berkhasiat panas, buah ini boleh dimakan oleh ibu-ibu semasa dalam pantang.

Sayur-sayuran sejuk seperti kangkung, petola, terung dan cili, tidak boleh dimakan oleh ibu-ibu semasa dalam pantang. Mengambil sayur-sayuran sejuk boleh menyebabkan ibu-ibu kembung dan sakit-sakit badan.

Selain daripada sayur-sayuran sejuk, buah-buahan seperti nenas, limau dan buah lai tidak boleh dimakan oleh ibu-ibu semasa dalam pantang kerana buah-buahan ini berbisa dan sejuk. Jika ibu-ibu memakannya boleh menyebabkan bentan dan turun darah.

=======================================

Cara Berbaring / Tidur

Tidur terlentang tidak berbantal dan terdedah kepada angin sejuk adalah dilarang bagi ibu-ibu di dalam pantang. Tidur dengan bantal tinggi adalahdigalakkan ketika ibu dalam pantang kerana darah kotor tidak naik ke kepala.

=======================================

Cara Mandi

Ratakan air di seluruh badan jangan sampai mengigil dan kesejukan. Mandi pada setiap pagi dan petang. Mandi air rebusan daun-daun ini selama seminggu.

Sabtu, 8 Disember 2012

[Memoir bersama Prof. Dr. Syuesh Mahamid]


Doktor Syuesh yang memakai jubah coklat.


Wahai anak-anakku dari Malaysia yang sangat aku cintai.

Aku telah membaca kitab Mustafa Al-Zarqa', Al-Qaradhawi, Al-Durayni, Abu Zahrah. Aku menulis puluhan bahas dan kajian akademik, tapi aku masih belum mencapai tahap ilmu seperti mereka.

Kamu ingin menjadi seperti Al-Qaradhawi, Al-Durayni, Al-Zarqa'. Aku kagum. Tapi, buku kecil yang aku karang tidak mampu kau khatamkan. Bahkan ilmu kamu hanya sekadar bergantung kepada nota-nota di Maktabah Zikra dan Maktabah Tamayyuz. Kajian dan bahas kecil yang aku minta, kamu salin dan tampal dari internet sahaja.

Anakku, aku tidak redha, kamu datang dari jauh lalu pulang seperti sediakala tanpa ada sebarang pertambahan kebaikan dan ilmu pengetahuan.

Wahai anak-anakku, aku inginkan kalian seperti al-Qaradhawi, Al-Durayni, Al-Zarqa'. Berusahalah. Aku sentiasa mendoakan kalian.





-Dr. Syuesh Mahamid

Isnin, 6 Ogos 2012

Nuzul Al-Quran





Sejarah Ringkas
·         Nuzul Al-Quran merupakan peristiwa turunnya ayat Al-Quran yang pertama kepada Nabi Muhammad s.a.w.
·         Berlaku pada malam 17 Ramadan, bersamaan dengan tanggal 6 Ogos 610M ketika Nabi Muhammad s.a.w berusia 41 tahun ketika baginda sedang ber’uzlah(memencilkan diri) di Gua Hira’.
·         Ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui perantaraan Malaikat Jibril  ialah lima ayat pertama daripada Surah Al-Alaq (اقرأ)
·         Perkataan "Nuzul" bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah.
·         Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur.





Peristiwa yang berlaku.

·         Nabi Muhammad s.a.w didatangi oleh ketua para malaikat iaitu Jibrail Alaihissalam.
·         Jibrail a.s menyuruh nabi Muhammad s.a.w membaca  اقرأ .
·         Nabi tidak tahu membaca. مَا اَنَا بِقَارِئ. Aku tidak dapat/tahu membaca.
·         Kemudian Jibrail memeluk Nabi s.a.w dengan pelukan yang sangat erat.
·         Sebanyak 3 kali Jibrail menyuruh Nabi s.a.w membaca tetapi jawapan tetap sama.
·         Kemudian Jibrail membacakan surah Al-‘Alaq( اقرأ) dan diikuti Nabi s.a.w membacanya.
·         Selepas itu Nabi s.a.w pulang ke rumah dengan tergesa-gesa kerana ketakutan yang amat sangat.






Tentang Al-Quran
·         Al-Quran juga dinamakan sebagai Al-Kitab (Kitab), al-Furqan (Bukti), al-Huda(Petunjuk), Asy-Syifa’(Penyembuh), Al-Zikr(Peringatan), An-Nur(Cahaya).
·         Ayat pertama yang diturunkan adalah اقرأ iaitu ‘bacalah’.
·         Ayat terakhir yang diturunkan ialah dari surah Al-Baqarah ayat 278-281. Iaitu ayat tentang riba’.
·         Terdapat 114 surah.6236 ayat dalam Al-Quran. http://www.e-bacaan.com/artikel_6666.htm
·         Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur melalui perantaran Jibrail a.s.
·          Al-Khudhari mengatakan tempoh al-Quran diturunkan ialah 22 tahun 22 bulan dan 22 hari, bermula daripada 17hb. Ramadhan tahun 41 kelahiran Rasulullah s.a.w. hinggalah 9hb. Zulhijjah, tahun ke 10 Hijrah.
·         Ada dalam kalangan sahabat yang mencatat apa yang Nabi s.a.w sampaikan cuma tiada pembukuan Al-Quran 30 Juzu’.
·         Pembukuan 30 juzu’ Al-Quran berlaku pada zaman saidina Abu Bakar r.a.
·         Ketika itu berlakunya peperangan untuk memerangi orang murtad.
·         Ramai para Huffaz ramai yang syahid ketika peperangan itu.
·         Saidina Umar r.a yang mencadangkan kepada Abu Bakar supaya Al-Quran dibukukan.
·         Pada permulaannya Abu Bakar agak keberatan untuk melakukan nya kerana Nabi s.a.w tidak pernah melakukannya.
·         Selepas itu Umar memberikan hujjah bahawa ramainya nya huffaz yang syahid akan menyebabkan Al-Quran tidak akan dapat disampaikan kepada umat Islam akan datang.
·         Tulisan Al-Quran pada zaman Nabi s.a.w  tiada baris dan tiada titik.
·         Baris dan titik dalam Al-Quran ada pada zaman pemerintahan saidina Uthman R.A.
·         Sebab itu dinamakan rasm uthmani bermaksud penulisan Uthmani.   





Hikmah Al-Quran diturunkan secara beransur 
·         Al-Quran diturunkan sedikit demi sedikit supaya mudah dihafal, difahami dan dilaksanakan.
·         Untuk menetapkan jiwa Rasulullah s.a.w. dan menguatkan hatinya.
·          Untuk mendidik masyarakat waktu itu secara beransur-ansur.
·         Untuk menyesuaikan dengan peristiwa yang baharu berlaku iaitu apabila timbul sesuatu masalah di kalangan mereka, turunlah al-Quran menentukan hukum yang sesuai untuk menyelesaikan masalah tersebut.
·         Untuk menunjukkan bahawa sumber al-Quran itu Kalam Allah SWT semata-mata. Ia bukan ciptaan Nabi Muhammad s.a.w. atau makhluk lain.





Sedikit Tambahan.

·         Al-Quran menjadi panduan/petunjuk  bukan untuk menghafal semata-mata.
·         Al-Quran adalah untuk diamalkan dan disampaikan. Bukan hanya untuk selamat seorang diri sahaja.
·         Bentuk penyampaian dalam Al-Quran ada kalanya dalam bentuk memuji,mengkeji dan sebagainya.
·         Pelbagaikan bentuk penyampaian dakwah supaya orang tidak jemu.
·         Dalam al-Quran juga ada ilmu tentang sains,sejarah orang-orang terdahulu, hukum-hakam pensyariatan dan sebagainya.
·         Al-quran diturunkan secara beransur begitu juga dakwah mesti secara beransur dan bersabar bukan secara tergesa-gesa.
·         Orang akan lebih memandang kepada perbuatan kita bukan kepada percakapan kita.:
o   Buktinya Nabi s.a.w berdakwah dengan memberi makan kepada seorang perempuan tua yang buta. http://ipulstory.blogspot.com/2012/04/akhlak-rasul-kisah-perempuan-yahudi.html





Rujukan:

·         Kitab ulum Al-quran oleh Al-Fadhil Ad-Duktur Fadhli Hasan ‘Abbas.
·         http://sdia19.sch.id/?p=365



Wallahu A’alam.


Nur Mahadi Bin Baharum
Bayt Bujang Belum Terlajak.

Ahad, 15 Julai 2012

Tak nak balik malaysia ke?


Kali pertama dapat bergambar 1 'family'

Saya berharap supaya pada tahun ini saya dapat merasa ramadhan & syawal buat kali terakhir sebelum 'graduate' dari universiti Mu'tah pada tahun 2013 depan.

Pada petang semalam saya menelefon bonda hanya sekadar bertanya khabar. Kebiasaannya saya mengambil peluang untuk telefon ummi pada setiap hujung minggu. Sebelum ini saya telefon sebulan sekali. Tapi selepas itu saya telefon seminggu sekali  supaya  dapat mengurangkan  rindu ummi pada saya dan begitu juga sebaliknya.

Kebarangkalian orang mungkin mengatakan saya membazir duit & kredit, tapi bagi saya biar habis duit yang penting dapat pahala menyejukkan hati bonda. Kadang-kadang bukan benda penting untuk dibualkan tapi hanya semata-mata "apa khabar? dah makan ke? tadi makan lauk apa? siapa yang masak?" itu sahaja. 'So sweet'.

Cuma kali ni agak berbeza sedikit perbualannya. Begini sebahagian perbualan saya dengan ummi:

Ummi: "tak nak balik malaysia ke tahun ni?"


Saya: "Awal tahun hari tu kan dah balik.(pelik)"

Ummi: "Bukan apa. Dah 2 tahun tak berpuasa &  beraya bersama." (nada mengharap supaya balik)

Saya: (sambil memikir jawapan yang bernas) Tak mengapalah, tahun ni kan dah tahun akhir
ramadhan kt jordan. lepas ni dah tak dapat lagi dah..:D

Ummi: erm, nanti ummi cuba tengok duit dalam akaun tabung haji mahadi ye.

(Setiap anak-anak ummi memang ada akaun tabung haji sejak kecil lagi. Fungsinya untuk kegunaan akan datang.)

Saya: (makin ligat memikir) hari tu kawan-kawan mahadi cakap harga tiket makin melambung. paling murah dalam JD400(RM1800) untuk 'one way' je. kalau return mesti atas dari rm3000. (cuba bagi alasan) 


Ummi: "erm, betul juga tu. Yuran untuk sem depan belum kira lagi ya tak."


Saya: (berbelah bahagi samaada mahu pulang ke malaysia atau tidak)


Ummi: "Tak mengapa lah, nak buat macam mana kalau ada rezeki nanti ada lah. Sebab sebenarnya ummi ada tunggakan gaji dll....."

Saya: (Kehabisan modal untuk menjawab) "insyaallah nanti mahadi istikharah  sama ada nak balik atau tidak."


Bukan saya tidak mahu pulang ke malaysia, tapi saya rasa duit tu lebih baik digunakan untuk perbelanjaan adik-beradik yang lain. Lebih-lebih pula harga tiket kapal terbang makin melambung.

 Ya, setiap orang dikurniakan perasaan rindu. Bohonglah jika saya katakan yang saya tidak rindu pada ummi & abah serta adik-beradik. Bezanya, sejauh mana kita dapat mengawal perasaan rindu.


Tanggungjawab seorang anak &  penuntut ilmu. Jika ditaqdirkan saya berumahtangga pada tahun hadapan, maka bertambah lagi tanggungjawab saya.



Ulangtahun perkahwinan yang ke-24 pada tahun 2011



Ya Allah, ampunilah dosa kedua ibubapa ku. Kasihanilah mereka berdua sepertimana mereka mengasihani diriku Ya Allah. Jauhkan mereka daripada azab kubur & api nerakaMU ya Allah. Tempatkanlah mereka dalam kalangan salafussoleh Ya Allah.  Amin Ya Rabb.


Senyum.

Nur Mahadi Bin Baharum,
Universiti Mu'tah,
Isnin, 26 Sha'ban 1433H / 16 Julai 2012M
2.37 a.m


Sabtu, 14 Julai 2012

Antara ayat paling berat dalam al-Quran

Ayat ini adalah antara ayat paling berat dalam al-Quran:

Surah al-Baqarah, ayat 284:
Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu memyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian Ia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Dalam ayat ini, Allah memberitahu bahawa tiada yang tersembunyi daripadaNya:

Baik yang nampak,
yang rahsia,
yang terselindung,
yang amat kecil dan tersembunyi.

Allah juga menyatakan dengan terang bahawa setiap hambaNya akan dihisab atas segala perbuatan mereka, dan juga apa yang disembunyikan dalam hati.

Bagi orang yang beriman, ayat ini terasa berat, dan menimbulkan rasa takut akan perhitungan Allah terhadap semua perbuatan, baik yang besar mahupun yang kecil.

Kita boleh bersembunyi daripada pengetahuan manusia, tapi Allah akan mengetahui segalanya, dan segalanya itu akan dihisab di akhirat nanti.

Jauhi kemungkaran, jangan ingat Allah tak tahu.

Sekadar peringatan untuk semua. Senyum.